Header Ads

Najib Razak Ucap Terima Kasih Kepada Jabatan Audit Negara


Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau berterima kasih kepada Jabatan Audit Negara kerana akhirnya kebenaran terbukti jua.

Dakwaan yang mengatakan kerajaan BN sebelum ini merompak RM19.2 bilion wang tuntutan balik GST adalah tidak benar berdasarkan laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2 yang dikeluarkan.

“Terima kasih kepada Jabatan Audit Negara untuk mengesahkan bahawa (Menteri Kewangan) Lim Guan Eng sebenarnya seorang penipu bersiri dan cuba tai-chi kelemahan dan kedangkalan sendiri untuk menyalahkan kerajaan BN.

“Laporan Audit ini juga menunjukkan bahawa ada jumlah yang sangat besar bagi tuntutan bayaran balik yang mungkin tidak sah atau menunjukkan percubaan untuk menipu Kastam iaitu RM3.90 bilion untuk mereka yang tiada pembekalan bercukai (no output tax) dan sejumlah RM3.52 bilion yang masih dalam siasatan.

“Oleh itu, saya hairan mengapa Guan Eng tergesa-gesa untuk menjarah wang Petronas berpuluh-puluh bilion untuk tahun depan dengan alasan mahu membayar balik tuntutan-tuntutan ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2, menunjukkan jumlah wang input GST yang belum dibayar balik setakat 5 Jun 2018 sebenarnya ialah RM19.47 bilion manakala jumlah yang telah diluluskan tetapi belum dibayar hanya RM1.45 bilion dan ini kerana pelbagai masalah seperti akaun penerima ditutup, dibeku ataupun kurang dari 30 hari.

Tunggakan yang terbesar pula ialah jumlah RM9.65 bilion yang dikategorikan sebagai wang dalam siasatan bagaimanapun laporan tersebut juga mengesahkan bahagian terbesar tunggakan ini ialah dari 90 hari ke bawah.

“Tuntutan untuk bulan April dibayar pada bulan Mei manakala tuntutan untuk bulan Mei dibayar pada bulan Jun.

“Ini bermaksud bahawa jikalau wang input GST lambat dibayar balik, ianya ialah kesalahan kerajaan PH sendiri. Yang tidak semak dan tidak bayar ialah PH sendiri,” katanya lagi.

Powered by Blogger.