Header Ads

Cheng Hoe Anggap Kemenangan Pemainnya Suatu Yang Menakjubkan


Tan Cheng Hoe, yang merupakan jurulatih buat skuad Harimau Malaya tidak mahu pemainnya hilang fokus dengan kemenangan menentang Thailand semalam dan mahu pemainnya untuk terus kerja kuat untuk memburu gelaran Juara Piala AFF.

Malaysia berada di landasan terbaik memburu gelaran pertama sejak 2010, selepas mara ke perlawanan akhir buat kali keempat menerusi peraturan gol di tempat lawan, apabila seri 2-2 pada separuh akhir kedua di Stadium Nasional Rajamangala.

Harimau Malaya akan bertemu Vietnam atau Filipina di Final yang akan berentap dalam aksi kedua hari ini.

Menurut Cheng Hoe, kejayaan itu adalah hasil kerja keras anak buahnya yang bermain mengikut taktikal.


“Selepas seri 1-1 pada babak pertama, kami perlu kekal tenang dalam permainan, mengekalkan penguasaan bola dan cuba melakukan serangan balas. Kita juga perlu berhati-hati dengan gerakan ‘set piece’ Thailand.

“Pemain mengikut taktikal dengan penuh disiplin pada babak kedua dan ini adalah keputusan yang menakjubkan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Cheng Hoe mengakui tetap tenang walaupun Thailand yang dibimbing Milovan Rajevac mendapat sepakan penalti pada masa kecederaan di babak kedua yang gagal disempurnakan oleh Adisak Kraisorn.

“Saya masih tenang dan yakin mungkin penjaga gol Farizal Marlias boleh menyelamatkan sepakan penalti itu.

“Kami ada mengkaji video sepakan penalti Adisak dan saya yakin Farizal boleh melakukan sesuatu,” katanya.

Perlawanan akhir akan berlangsung pada 11 dan 15 Disember ini.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.


Powered by Blogger.