Header Ads

Filem Pertama Tidak Kelakar Mamat Khalid, Lebuhraya Ke Neraka.



Mamat Khalid tentulah nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Karyanya melalui filem seperti Rock Bro, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Man Laksa, dan banyak lagi sememangnya telah banyak mengubah persepsi kepada industri perfileman di negara kita. Filem terbaru arahan beliau iaitu Lebuhraya Ke Neraka sekali lagi mendapat pujian ramai apabila ini menjadi filem pertama beliau yang tidak menerapkan unsur-unsur komedi tetapi memfokuskan tentang soal kerohanian untuk santapan para penonton dengan cara yang amat kretif sekali.

Diterajui Awie dan Khir Rahman, filem yang sarat dengan mesej kesedaran ini turut dibintangi oleh Shah Jaszle, Miera Leyana, Dazrin Kamarudin, Fatin Syahirah, serta penampilan khas oleh Pekin Ibrahim.

Trailer & Sinopsis


Lebuhraya ke Neraka berkisah tentang sekumpulan geng motor berkuasa tinggi yang berhenti berehat sewaktu berkonvoi ke utara telah diserang penyakit misteri secara tiba-tiba. Bob (Awie) yang tidak mengalami penyakit misteri seperti rakan-rakannya, bergegas mencari bantuan dan telah bertemu dengan seorang lelaki aneh bernama Tyson (Khir Rahman)yang bersetuju untuk menolong mereka. Tyson telah mengenakan syarat kepada Bob untuk mengambil nyawa rakan-rakan Bob sebagai balasan atas pertolongan yang bakal dihulurkannya.

Mampukah Bob membuat keputusan yang membahayakan nyawa rakan-rakannya?

Kenapa Patut Tengok?

Jika anda rasa mungkin dah terlalu lama tidak menonton filem tempatan yang baik, ini adalah filem yang boleh mengubah persepsi anda pada filem tempatan. Bagaimana filem ini diolah dari awal sehingga habis langsung bukan seperti filem klise kerohanian biasa yang pernah anda tonton sebaliknya filem ini memerlukan anda lebih rilek untuk berfikir kembali tentang diri sendiri. Naskah unggul dari Mamat Khalid seperti filem ini seharusnya diketahui oleh lebih ramai lagi untuk sama-sama pergi menontonnya pada hujung minggu ini.

Filem Lebuhraya ke Neraka ini telah mula ditayangkan pada 4 Mei yang lalu. Diterbitkan oleh Grand Brilliance, filem edaran Primeworks Distribution ini merupakan sebuah filem kerohanian yang pasti akan merangsang pemikiran serta mencetus keinsafan para penonton tentang kesediaan dalam menempuh kematian.

Dikuasakan oleh Blogger.