Header Ads

Haram Mengumpat Kecuali 6 Sebab Ini


Ketahuilah olehmu bahawasanya sekalian kelakuan mengumpat itu haram dan tiada diharuskan (tidak dibolehkan) oleh syara’ melainkan 6 perkara:

1. At-Tazallum, iaitu kerana di zalimi atau untuk mencari keadilan.

Iaitu, mengkhabarkan akan kejahatan orang yang zalim akan dikau kepada Qadi, supaya menghukumkan ia akan dia.

Atau, mengkhabarkan akan kejahatan Qadi yang zalim akan dikau kepada Sultan, supaya menghukumkan ia akan dia. Maka, yang demikian itu harus (boleh).

Iaitu, mengatakan kepada Qadi bahawa Si Fulan bin Si Fulan menzalimi diri saya. Atau, mengatakan kepada Sultan bahawa ada seorang Qadi telah menzalimi diri saya.

2. Iaitu kerana mencari pertolongan kerana mahu menolak kemungkaran, dan mahu menolak perkara-perkara maksiat supaya perkara itu jadi bagus.

Ertinya, harus (boleh) mengkhabarkan akan kejahatan orang kepada orang besar atau Raja kerana sebab meminta tolong akan dia atas menolakkan kejahatan orang itu.

Dan, harus (boleh) pula mengkhabarkan akan kejahatan orang yang berbuat maksiat kepada orang besar atau kepada Raja-Raja, kerana sebab meminta tolong akan dia supaya mengembalikan ia, akan dia orang yang berbuat maksiat itu kepada berbuat kebajikan.

3. Al-Istifta’, iaitu meminta fatwa daripada Mufti.

Yakni, harus (boleh) mengkhabarkan kejahatan orang kepada Mufti kerana menuntut fatwa kepadanya, seperti berkata seorang kepada Mufti, “Bapaku atau saudaraku, ia menzalimi akan daku dengan berbuat kejahatan akan daku. Apa hukumannya, dan betapa (apakah) jalan yang melepaskan akan yang demikian itu?”

Seperti apa yang diriwayatkan daripada perempuan yang bernama Hindun. Maka, mengadu ia akan hal suaminya, Aba Sufyan kepada Nabi saw dengan katanya; “Bahawasanya Abu Sufyan laki-laki kikir (kedekut). Padahal ia tiada memberi akan daku dan akan anakku makanan dan pakaian yang memadai akan daku. Dan, adakah harus (boleh) aku mengambil akan makanan atau pakaian itu dengan tiada ia mengetahui akan yang demikian itu? Maka, sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, “Ambil olehmu akan makanan dan pakaian itu yang memadai akan dikau dan akan anakmu dengan yang ma’ruf (kebaikan), dan jikalau tiada ia mengetahui akan yang demikian itu sekalipun.”

4. Iaitu mengingatkan orang Islam akan kejahatan.

Ertinya, harus mengkhabarkan kejahatan orang kerana menakuti akan orang Muslim daripada kejahatan orang itu.

Apabila engkau lihat akan seseorang baharu menuntut ilmu itu. Padahal, ia berulang pergi pada orang yang bid’ah. Yakni orang yang tiada baik iktiqadnya atau orang yang tiada baik agamanya. Maka harus engkau khabarkan kepadanya akan kejahatan orang itu supaya jangan ia mengaji kepadanya atau supaya jangan ia bersahabat dengan dia kerana bersahabat dengan orang demikian itu membawa kepada membinasakan akan agama.

Dan demikian lagi jika engkau lihat akan seseorang yang berulang-ulang pergi datang mengaji kepada orang yang fasiq atau ulama' yang jahat. Maka harus engkau khabarkan kepadanya akan kejahatan orang yang fasiq dan kejahatan ulama' yang jahat supaya menjauhi orang itu daripada berguru kepada orang yang demikian itu. Tetapi, (hendaklah) engkau qasadkan yang demikian itu kerana Allah Taala dan jangan engkau qasad kerana dengki akan dia.

Dan demikian lagi jika engkau lihat akan seseorang berkehendak membeli akan sahaya (hamba). Padahal engkau ketahui akan sahaya itu pencuri atau berbuat maksiat. Maka harus engkau khabarkan akan orang yang berkehendak membeli akan dia, akan kejahatan sahaya itu supaya menjauhi ia daripada membeli akan sahaya itu.

Dan demikian lagi jikalau bertanya seseorang akan dikau akan hal orang yang dijadikannya akan saksi itu, jikalau engkau ketahui akan orang itu jahat. Maka harus engkau khabarkan akan kejahatan orang itu.

Dan demikian lagi jika orang yang berkehendak beristeri. Maka bertanya ia akan dikau akan perempuan yang hendak diperbuatnya isteri itu. Padahal, ia jahat perbuatannya. Maka harus engkau khabarkan akan kejahatan perempuan itu.

Dan demikian lagi jika seseorang berkehendak mempersuamikan akan anaknya perempuan, dengan seorang laki-laki yang jahat. Maka harus engkau khabar kepada bapa perempuan itu akan kejahatan laki-laki itu dan barang sebagainya.

Seperti sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, “Sebutkan oleh kamu akan orang yang fajir, yakni orang yang fasiq itu akan kejahatan yang ada di dalamnya itu supaya menjauhi akan dia itu oleh manusia.”

5. Harus menyebutkan akan aib orang yang tiada diketahui akan dia, melainkan dengan disebutkan akan aibnya itu.

Seperti si Fulan yang buta. Atau, si Fulan yang tempang. Atau, barang sebagainya.

6. Harus menyebutkan akan kejahatan orang yang telah masyhur akan fasiqnya itu.

Seperti orang yang masyhur dengan berzina. Atau, yang masyhur dengan berliwat. Atau, orang yang masyhur dengan meminum arak. Atau, barang sebagainya.

-----------

Dan, kata Hasan Al-Basriyy rahimahullah, “Ertinya, tiga orang tiada haram atas orang yang mengumpat bagi mereka itu.
1. Orang yang bidaah.
2. Orang yang fasiq yang menzahirkan ia akan maksiatnya itu sekira-kira jikalau dikata oleh orang akan kejahatannya itu, nescaya tiada ia benci akan yang demikian itu.
3. Raja-raja yang zalim. Maka tiada haram atas seseorang menyebutkan akan pekerjaannya yang zalim itu.”

Kesimpulannya, terdapat enam jenis umpatan yang dibenarkan di dalam syara'.

Oleh itu, jika kami ada menyatakan bahawa seseorang itu mempunyai keburukan atau sesuatu jemaah itu mempunyai keburukan. Maka, inilah yang dikatakan sebagai "tahzirul muslimin minal syarri", iaitu mengingatkan orang Islam akan kejahatan seseorang.

+ Kitab Siarus Salikin Fi Thariqatis Sadaatis Suffiyah oleh Al-’Allamah Al-Arifu Billah Asy-Syaikh Abdussamad Al-Falimbani, Juzu’ 3, m/s 87-89.
Powered by Blogger.