Header Ads

Interchange Arahan Dain Said Menyerlah di Festival Filem Asia Pasifik


Filem arahan Dain Said, Interchange sekali lagi meraih pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi anugerah Kesan Khas Visual pada Festival Filem Asia Pasifik ke-58 (APFF58) di Taipei, Taiwan, Sabtu lalu.

Filem supernatural itu mengenepikan empat fnalis lain iaitu Jungle terbitan produksi Australia, The Tag Along 2 (Taiwan), Villa Dwellers (Iran) dan The Soul of Himalaya (China). Trofi kemenangan diterima Datuk Nancie Foo mewakili pihak produksi.

Selain Kesan Khas Visual, Interchange turut dicalonkan dalam kategori Penataan Bunyi Terbaik bersama empat lagi calon termasuk The Tag Along 2 dan tiga karya dari Filipina iaitu Birdshot, The Right to Kill serta Respeto.


Interchange menggabungkan bintang Malaysia dan Indonesia seperti Shaheizy Sam, Nicholas Saputra, Iedil Putra, Prisia Nasution, Nadiya Nisaa, Alvin Wong serta Chew Kin Wah

Ia berkisar mengenai jurufoto forensik, Adam (lakonan Iedil) yang setiap hari melihat tubuh dikerat menerusi lensa kameranya, lalu menyertai rakan setugasnya, Detektif Man (Shaheizy) menyiasat misteri siri pembunuhan di Kuala Lumpur.

APFF58 turut menyaksikan tiga filem tempatan lain iaitu Adiwiraku, Hanyut dan Abang Long Fadil 2 bersaing, namun gagal meraih kemenangan. Adiwiraku bagaimanapun, membolosi pencalonan akhir kategori Cerita Asal Terbaik.

Dain bukan nama asing dalam festival itu apabila namanya pernah disenaraikan untuk anugerah Pengarah Terbaik dan Filem Terbaik menerusi Bunohan, tiga tahun lalu.

Tahun lalu, Malaysia membawa pulang trofi Pengarah Terbaik menerusi kemenangan Syamsul Yusof yang menyerlah dengan Munafik, selain Penyunting Terbaik menerusi Ola Bola (Gwyneth Lee).

Sumbe: Berita Harian
Powered by Blogger.