Header Ads

Marina Mahathir Lantang Pertahan LGBT


Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Nibong Tebal menyelar kenyataan yang dikeluarkan Marina Mahathir agar Komuniti LGBT diberi hak sama rata seperti orang lain.

Ketuanya, Mohd Norhiesam Ismail berkata, sebelum ini Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menangis menemui tokoh ulama dan cendekiawan Islam dan dalam pertemuan itu beliau mengatakan bagaimana umat Islam perlu kembali kepada al-Quran sebagai rujukan.

Namun Mohd Norhiesam berkata, selang beberapa hari kemudian Marina dengan lantangnya meminta hak sama rata bagi golongan LGBT.

“Adakah kerana ayahnya kini kembali bergelar perdana menteri maka Marina semakin berani menongkah arus memperjuangkan budaya hidup songsang yang bakal merosakkan negara ini.

“Harus diingat, bukan agama Islam sahaja yang menolak budaya songsang ini tetapi Hindu, Buddha, Sikh dan agama-agama lain turut menolak LGBT,” katanya di sini semalam.

Mohd Norhiesam berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berperlembagaan dan Islam adalah agama rasmi, maka perjuangan yang dibawa Marina ini adalah sesuatu yang bertentangan dengan ajaran semua agama dan tidak seharusnya diteruskan.

Katanya, desakan dan tekanan diberikan terhadap kepimpinan negara termasuk pejuang hak LGBT di negara ini bagi memenuhi tuntutan adalah tidak berasas kerana golongan berkenaan perlu ditangani dengan tegas walaupun yang memperjuangkannya adalah anak kepada seorang perdana menteri.

“LGBT ini adalah satu simptom penyakit sosial yang jika tidak dibendung akan memporak-perandakan sistem budaya bangsa dan mengikis nilai negara.

“Isu LGBT harus dilihat dari sudut yang lebih besar iaitu sudut nilai kenegaraan untuk negara. Ini kerana kita tidak mahu melihat negara mencapai kemajuan dengan mengorbankan nilai,” katanya.

Sumber: Sinar H
Powered by Blogger.