Header Ads

Aaron Aziz Seperti Raja Ketika Berada Di India



Pelakon terkenal Aaron Aziz teruja apabila penampilan sulungnya dalam filem Tamil ‘Tik Tik Tik’ mendapat sambutan hangat masyarakat India, bukan sahaja di dalam negara, bahkan juga di luar negara.

Pertama kali muncul dalam filem Kollywood dengan melakonkan watak sampingan di sisi pelakon utama Jayam Ravi, Aaron menyifatkan sambutan hangat masyarakat India terhadap lakonannya dalam filem itu “seperti menang pilihan raya,”

“Saya terima banyak mesej daripada peminat yang memuji lakonan saya walaupun hanya memegang watak sampingan dalam filem itu,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di kediamannya.

Aaron, 42, berkata ini kali pertama beliau mendapat sokongan yang begitu hangat daripada peminat bukan Melayu sejak berkecimpung dalam dunia seni dua dekad lepas.

Beliau melakonkan watak jahat dalam filem sains fiksyen ‘Tik Tik Tik’, bermaksud bunyi jam, yang berkisar tentang penjelajahan kapal angkasa pertama India. Dialognya diungkapkan dalam bahasa Inggeris.

Selain Ravi dan Aaron, filem arahan Shakti Soundar Rajan itu turut dibintangi Nivetha Pethuraj dan Ramesh Thilak. Filem itu ditayangkan di pawagam di seluruh dunia sejak 22 Jun lalu dan menerima sambutan menggalakkan.

Bagi hero filem Ombak Rindu dan KL Gangster ini, pengalamannya berlakon dalam filem Kollywood meninggalkan banyak kenangan indah.

Katanya walaupun hanya pelakon sampingan, beliau dilayan seperti raja sepanjang tiga minggu berada di Chennai, India, untuk sesi penggambaran pada tahun lepas.

“Jika di Malaysia, pembantu akan beri pakaian dan kita akan pakai sendiri tetapi di sana (India), pembantu sanggup tukarkan pakaian sehingga tolong pakaikan tali pinggang dan zip, tetapi saya kata saya boleh lakukan sendiri, “ katanya sambil tertawa.

Ditanya mengenai kesediaannya menerima tawaran itu walaupun sekadar melakonkan watak sampingan, pelakon kelahiran Singapura itu berkata beliau bukanlah mengejar glamor dan populariti, sebaliknya ingin mempelajari perkara baharu, tambahan pula berpeluang untuk bersama barisan pelakon dan pengarah terkenal.
Powered by Blogger.