Header Ads

Hukum Solat Terawih Bersendirian Di Rumah



Soalan : Apakah hukumnya seseorang itu solat terawih secara bersendirian di rumah?

Jelas Al-Syeikh Al-Buhuti Rahimahullah di dalam kitabnya Daqaiq Uli Al-Nuha (1/2245): Menunaikan solat tarawih di masjid itu lebih afdhal berbanding selainnya. Kerana baginda SAW menunaikannya bersama orang ramai selama tiga hari berturut-turut. Sepertimana yang diriwayatkan oleh A’isyah R.anha bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang melakukan qiyam bersama imam sehingga dia selesai, akan dituliskan ganjaran untuknya qiyam sepanjang malam. (Riwayat Ibn Majah (1327)

 Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahullah juga berpendapat yang sama berhujahkan hadis di atas. Ditanyakan kepada Imam Ahmad : Adakah kau suka seorang lelaki solat bersama orang ramai (secara berjamaah) pada bulan Ramadan atau kau suka dia solat secara bersendirian ? Maka Imam Ahmad menjawab : Aku suka jika dia solat berjemaah bersama orang ramai, dan aku juga suka sekiranya dia solat bersama dengan imam dan turut witir bersamanya.

Seperti mana sabda Nabi SAW : “Sesungguhnya seorang lelaki itu apabila dia qiyam bersama dengan imam sehingga imam selesai, nescaya dituliskan untuknya ganjaran qiyam sepanjang malamnya”. Kata Imam Ahmad lagi: Dia qiyam secara berjemaah dan solat witir bersama mereka sehinggalah imam selesai. Kata Abu Daud : Aku melihat Imam Ahmad Rahimahullah, beliau berwitir pada bulan Ramadan bersama imamnya kecuali pada malam yang aku tidak menghadirinya. Lihat Tuhfah Al-Ahwaazi, Al-Mubarakfuri (3/448).

Jawapan : Hukum menunaikan solat terawih secara bersendirian di rumah adalah dibolehkan dan sah. Tapi yang paling afdal dan dituntut di dalam Islam dalah menunaikan secara berjemaah. Ini dapat dilihat dari sabda Nabi SAW dan keterangan lain di atas.


Kami juga mencadangkan kepada para pembaca supaya melihat beberapa murajjihat (pemberat) yang berikut:


  • Bagi yang menghadirkan diri ke masjid untuk menunaikan solat isyak secara berjemaah. Alangkah lebih baik untuk dirinya kekal di masjid dan meneruskan solat tarawih secara berjemaah. 

  • Solat tarawih secara berjemaah merupakan satu syiar agama Islam. Kerana itu ia disifatkan menyamai solat hari raya. 

  • Sesiapa yang merasakan kualiti solat tarawihnya semasa bersendirian jauh lebih baik berbanding kualiti solat semasa berjemaah, maka dia boleh untuk solat sendirian. Jika sebaliknya, maka berjemaah itu lebih afdal.

  • Solat tarawih secara berjemaah di masjid itu lebih kuat dalam mengeratkan silaturahim dan kerukunan dalam kalangan masyarakat berbanding solat secara bersendirian. Hubungan baik dapat dibina apabila hadir solat bersama, saling beramah mesra, bertanya khabar, dan seumpamanya. 

  • Cukuplah arahan Saidina Umar Al-Khattab kepada para sahabat di zamannya untuk dilakukan solat tarawih secara berjemaah menunjukkan yang ia suatu yang lebih baik berbanding solat secara bersendirian. 


*Mufti Wilayah Persekutuan, SS Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri


Powered by Blogger.