Header Ads

Respon Oh! Media Tentang Filem Isyarat Cinta


Jika anda pada asalnya merupakan seorang penggemar filem Melayu seperti kami, ini artikel yang boleh anda renungkan. Berkesempatan menonton filem Isyarat Cinta lebih awal, merupakan satu peluang yang tidak kami lepaskan. Kami datang bukan dengan satu ’expectation' yang tinggi untuk filem Isyarat Cinta ini. Kita tahu sejak kebelakangan ini rakyat Malaysia sering sahaja disuap dengan lambakan filem tempatan yang kurang berkualiti hingga ada penonton yang sudah mula hilang kepercayaan untuk kembali menonton filem tempatan lagi.

Mampukah Isyarat Cinta mengembalikan rasa minat rakyat Malaysia untuk ke panggung wayang menonton filem tempatan? Berbeza dengan filem Isyarat Cinta, ini merupakan naskah filem kedua terbitan Datuk Rosyam Nor selepas filem Box Office, Balistik yang ditayangkan awal tahun lalu. Pujian patut diberikan kepada beliau kerana menjadi penerbit filem yang lebih mementingkan kualiti dan bukan sekadar kuantiti. Sikap ini sememangnya patut dicontohi pembangun filem tempatan lain agar menerbitkan filem yang lebih berkualiti dan bukan sekadar menerbitkan filem untuk mengaut keuntungan semata-mata.

Berbekalkan kepada kepercayaan yang sangat tinggi bahawa Rosyam Nor tidak akan mengecewakan penggemar filem Melayu ditambah pula dengan kekuatan para pelakon filem ini seperti Liyana Jasmay, Adi Putra dan Fizo juga air tangan pengarah tersohor Bade Haji Azmi, kami menonton filem ini dengan penuh perasaan ingin tahu yang cukup menebal.

Filem Isyarat Cinta ini pada kami merupakan sebuah filem yang digayakan cukup 'simple' di mana para penonton hanya perlu duduk dan menghayati sedalam-dalamnya soal jiwa dan perasaan yang sangat sarat dimuatkan di dalamnya. Tidak hairanlah kalau ada penonton yang mengalir air mata selepas menonton filem ini ditambah pula dengan pendekatan filem ini untuk memartabatkan kesungguhan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Bayangkan bagaimana seorang lelaki OKU yang pekak dan bisu, jatuh hati kepada seorang anak gadis buta. Sememangnya agak unik pertemuan ini. Bila hati telah suka, apalah dayanya diri serba kekurangan untuk meluahkan rasa di hati tanpa keupayaan untuk berkata-kata. Dari situ mula lahirnya satu konflik kehadiran orang ketiga untuk menjadi perantaraan yang akhirnya menzahirkan satu percintaan tiga segi penuh tragis di antara mereka. Sejujurnya filem Isyarat Cinta ini banyak membuatkan kami terfikir tentang situasi sama yang berlaku di dalam kehidupan sebenar kita.

Trailer


Keterampilan Hebat Para Pelakon



Kesungguhan Liyana Jasmay yang membawa watak Dhia, Adi Putra dan Fizo di dalam Isyarat Cinta sememangnya patut diberi pujian. Biarpun mereka kini dilihat sibuk dengan urusan perniagaan masing-masing, namun darah seni yang mengalir dalam diri membuatkan mereka tidak mampu melupakan atau meninggalkan terus kerjaya lakonan. Bersikap selektif dengan mengutamakan skrip yang baik atau pengarah yang bagus merupakan kriteria mampu menarik mereka untuk kembali ke dunia lakonan.

Ini merupakan filem pertama Liyana Jasmay selepas berkahwin dan bergelar Ibu kepada seorang cahaya mata. Mengakui dirinya sentiasa akan mengutamakan anak dan suami, pembabitannya di dalam filem Isyarat Cinta merupakan satu naskah yang mampu mengubat rindu para peminatnya yang menantikan "comeback" pelakon berbakat besar ini ke layar perak.

Watak Dhia yang diberikan kepadanya dalam filem Isyarat Cinta ini tentunya sangat mencabar kerana menjadi seorang gadis buta.
"Saya banyak menonton filem dan membawa buku mengenai orang buta sebagai persiapan. Memang mencabar tapi 20 hari membawa watak Dhia, lama-kelamaan ianya sebati dengan diri saya. Dhia di dalam filem ini buta disebabtkan kemalangan tetapi mempunyai deria sentuh, dengar, serta bau yang tinggi. Saya hanya perlu mengawal pandangan mata supaya tetap melihat pada satu arah".


Adi Putra agak lama menyepi dari dunia lakonan. Wataknya sebagai Iskandar, seorang lelaki pekak dan bisu benar-benar menjadi biarpun lakonan tanpa sebarang dialog. Jelas Adi, dia membawa watak lelaki yang memiliki harga dan wajah yang kacak tetapi terpaksa menerima dugaan hidup sebagai seorang OKU pekak dan bisu.
"Selepas dimaklumkan mengenai karekter yang akan dibawa, saya terus melakukan penyelidikan dan cuba belajar bahasa Isyarat. Kami beruntung kerana ada pakar bahasa isyarat datang ke lokasi bagi memastikan setiap isyarat yang kami gunakan adalah betul. Perkara seperti itu bukan mudah direalisasikan dan saya tidak nafikan karekter Iskandar antara watak mencabar yang saya pernah lakonkan. Saya yakin kelainan ini mampu menarik minat orang ramai untuk datang menonton.

Biarpun banyak filem dan drama ketika ini di adaptasi dari novel popular, namun filem Isyarat Cinta ini merupakan karya Bade yang memaparkan satu kisah segar.
"Selain jalan cerita, daya tarikan lain ialah gandingan teruju utamanya. Saya rasa seperti menerima satu penghargaan apabila Rosyam menggandingkan kami bertiga dalam filem ini", jelas Adi lagi.

Adi Putra buat masa ini sangat sibuk menguruskan syarikat Menara Rezeki berkaitan pembinaan dan juga Menara Hadid Holiday yang merupakan sebuah agensi umrah, namun pembabitannya dalam filem Isyarat Cinta ini pasti mengubat kerinduan para peminatnya di luar sana.


Fizo Omar juga siapa yang tak tahu bagaimana sibuknya dia dengan keluarga serta pelbagai cabang perniagaan namun tentunya Isyarat Cinta tidak menghalang Fizo untuk terus memberikan yang terbaik kepada penggemar filem Melayu. Dalam Isyarat Cinta ini, Fizo yang membawa watak Aeril sememangnya betul-betul bermain air mata di mana hidupnya sentiasa berbekas di hati semata-mata untuk memuaskan hati insan-insan yang disayangi. Boleh dikatakan air mata dan Fizo Omar sememangnya cukup sebati di dalam watak.

Sountrack


Tidak lengkap sebuah jalan cerita yang hebat tanpa runut bunyi yang memukau. Syabas juga diucapkan kepada Tomok kerana berjaya menyampaikan lagu OST Isyarat Cinta, "Tak Harus Memiliki" dengan cukup sempurna.



Khamis ini (19 Mac 2015) akan bermulalah tayangan filem Isyarat Cinta di seluruh negara menggamit kehadiran dan sokongan dari penggemar filem tempatan. Filem ini hanya akan ditayangkan di pawagam seluruh tanahair sahaja dan tidak akan ditayangkan di saluran lain seperti Astro First. Pergilah bawa pasangan, bawa keluarga, dan kawan-kawan untuk menonton filem ini dan bersedia untuk menghayati gelora jiwa yang cukup padat di dalam filem Isyarat Cinta ini. Jom!

Nota: Nantikan contest mudah di Facebook Oh! Media untuk memenangi tiket menonton Isyarat Cinta bersama pasangan anda.
Powered by Blogger.